Sambal tumis sotong kering versi Larkin Garden
Ramai berpendapat, penyediaan membuat sambal tumis adalah paling mudah tetapi ramai juga sebenarnya tidak begitu mahir dalam menyediakan sambal tumis sotong kering berikutan ia memerlukan beberapa teknik serta cara penyediaan tertentu bagi memastikan sotong tidak menganjal dan bila masuk ke mulut mudah dikunyah (dan tentu sekali sedap). Sambal tumis boleh dikira sebagai masakan (kebangsaan) yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu dan Jawa di Johor dan Melaka (Selatan Semenanjung Malaysia) selain asam pedas tumis yang hanya dipanggil sebagai Gulai di kalangan orang asal Johor atau Johor Bahru.
Bahan-bahannya:
6-8 keping sotong kering direndam selama dua hari dan ditukar airnya setiap 5 jam dgn campuran air dan abu chang (kalau takda abu chang boleh guna bikarbonat soda) tapi ada juga yang beri petua selepas rendam ...terus rebus sotong kering sampai kembang dan gebu!!!
20 - 25 batang lada kering dibuang biji dan direbus sehingga kembang (basuh dan tapis bersih-bersih)
4 hingga 6 biji bawang besar bergantung kepada saiz
4- 6 ulas bawang puteh
2 inci belacan
segenggam asam jawa dicampur air dan ambil jusnya
1 cawan gula pasir
3-4 sudu besar tomato puree
*tujuan sotong kering direndam dgn abu chang atau bikarbonat soda adalah memastikan sotong kering berkenaan boleh menjadi lembut dan kembang.
Cara membuatnya: Bila lihat sotong kering yang sudah direndam mulai kembang, kena bilas beberapa kali dan potonglah kecil, tos didalam tapis dan ketepikan. Sementara itu dua biji bawang besar dimayang nipis sementara 4 biji bawang besar yang lain dipotong kecil, bawang puteh diracik halus, belacan serta lada kering yang sudah dibasuh dan ditoskan dikisar halus di dalam blender.
2. Panaskan minyak di dalam periuk (bukan tak suka guna kuali tetapi bila guna periuk ada tutup dan boleh kurangkan kesan merecek ketika menumis bahan yang dikisar. Guna minyak lebih sedikit bila menumis sambal kerana lada dan sotong menyerap minyak banyak. Ok back to bussiness, bila minyak dah panas, tumis hirisan bawang besar (dua biji tadi) sehingga kuning dan agak separuh garing.
3. Selepas tu masukkan bahan cili dan bawang yang sudah dikisar ke dalam periuk dan tumis lagi sehingga kering dan garing serta hilang bau maung cili. Bila sudah garing bahan tumisan (gunakan api dapur yang sederhana), masukkan gula dan kacau sekali dua sehingga nampak likat sedikit, kemudian masukkan tiga sudu besar tomato puree dan tumis lagi sehingga 2-3 minit.
4. Pada peringkat itu, bahan tumisan sudah garing, masukkanlah sotong kering yang sudah ditoskan dan balik-balikkan lagi 3-4 minit sebelum dimasukkan 1 cawan air. Tutup rapat periuk dan biarkan mereneh atas api kecil selama 1 jam (tetapi jangan tinggalkan masakan begitu saja) sebaliknya kacau sekali sekala bagi memastikan masakan tidak berkerak dan hangit.
5. Buka tudung periuk dan bila lihat air semakin berkurangan dalam sambal, masukkan jus asam jawa serta tambahan gula merah jika rasa masih pedas menyengat. Tutup tudung periuk dan biarkan sambal masak lagi setengah jam dan akhir sekali barulah rasakan garam secukupnya.
* Sambal tumis yang sedap sebenarnya bukan rasa pedas semata tetapi rasanya mesti mesra pedas, masam, manis serta lemak. Selamat mencuba!!!!
No comments:
Post a Comment